Thursday, 8 December 2022

JDT juara Liga Super kali kesembilan berturut-turut

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dengan berbaki empat perlawanan liga malam ini, sekali gus mencipta sejarah terunggul dalam arena bola sepak negara yang sukar dicabar pasukan lain.

Kejayaan itu hadir apabila skuad bimbingan Hector Bidoglio mencatat kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada aksi malam ini, manakala pencabar terdekat Sabah FC tewas kepada Terengganu 0-2, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Kekalahan Sabah itu menamatkan perebutan takhta musim ini, apabila JDT yang mengumpul 46 mata daripada 18 perlawanan, tidak lagi mampu digugat skuad Sang Badak, yang mengutip 36 mata di tempat kedua dan hanya tinggal tiga perlawanan menuju penghujung musim.

Kejayaan menjuarai saingan musim 2022 juga, menyaksikan skuad Harimau Selatan berpeluang memperbaiki pencapaian mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim ini, apabila meraih tiket automatik ke kejohanan itu tahun hadapan.

Lebih manis, ia merupakan kejayaan berganda buat JDT, selepas pasukan feeder mereka JDT II ditabalkan sebagai juara Liga Premier, semalam.

Pada aksi di malam ini, JDT selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain sayap muda Arif Aiman Mohd Hanapi dan Leandro Velazquez, masing-masing pada minit ke-35 dan ke-37, sebelum Arif Aiman mencetak gol kedua peribadinya tiga minit selepas rehat.

Pemain import dari Brazil Bergson da Silva, turut tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring selepas menyumbat dua gol masing-masing pada minit ke-60 dan ke-88, untuk terus gah menerajui senarai penjaring terbanyak dengan koleksi 24 gol. Rakan sepasukan Fernando Forestieri kedua (13 gol).

Di Kuala Nerus, jaringan Pape Diakite seawal minit ketujuh dan Nik Sharif Haseefy Lazim (minit ke-30) memastikan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain, meraih tiga mata sementara Sabah FC terus gagal menamatkan kemarau kemenangan dalam empat aksi terakhir.

Sementara itu, kehadiran bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersama Selangor FC dilihat memberi impak segera selepas skuad Gergasi Merah, yang dihimpit prestasi terumbang-ambing mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Gol Mohammad Nor Hakim Hassan pada minit ke-16 dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (minit ke-32), masing-masing meletakkan pasukan mendahului 2-0 pada babak pertama sebelum Selangor meledak lagi tiga gol menerusi Brendan Gan (minit ke-66 dan ke-78) dan Herlison Caion pada minit ke-90.

Dalam pada itu, jaringan tunggal V. Ruventhiran pada minit ke-69, menyaksikan Petaling Jaya (PJ) City FC mengejutkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di laman sendiri pada pertembungan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada masa sama, Sri Pahang FC menundukkan Sarawak United 4-1 ketika bertandang ke Stadium Negeri, Kuching. - BERNAMA