Thursday, 8 December 2022

Verstappen berpeluang juara dunia kali kedua

  • Published in Sukan

SINGAPURA, 29 September- Pemandu Red Bull, Max Verstappen berpeluang dinobatkan sebagai juara dunia buat musim kedua berturut-turut sekiranya berjaya mencatat kedudukan terbaik pada perlumbaan Grand Prix Singapura, Ahad ini.

Verstappen memulakan musim 2022 dengan hambar apabila ketinggalan 46 mata di belakang pencabar daripada Ferrari, Charles Leclerc dalam tiga perlumbaan awal.

Namun, pemandu kelahiran Belanda itu mula menemui rentak sebenarnya dalam beberapa perlumbaan, sekaligus kembali mengungguli kedudukan kejuaraan dunia.

Verstappen kini meninggalkan pencabarnya dengan 116 mata dan baki enam lagi saingan.

Seandainya mahu dinobatkan juara dunia musim 2022 di Singapura, Verstappen perlu mengutip 22 mata melebihi Leclerc.

(Max Verstappen, Pemandu Red Bull / Foto REUTERS)

Selain itu, Verstappen juga perlu mengatasi rakan sepasukan, Sergio Perez dengan 13 mata, selain enam lagi mata ke atas pemandu Mercedes, George Russell.

Saingan GP Singapura kembali semula dalam kalendar Formula Satu (F1) buat kali pertama musim ini sejak dibatalkan susulan penularan COVID-19 pada 2019. -AFP