Thursday, 8 December 2022

Bola Sepak Liga Super: KL City FC berpesta gol

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 29 September- Kuala Lumpur (KL) City FC menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan berpesta gol 5-0 bertemu Sarawak United, pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

KL City mendahului seawal minit ke-28, menerusi jaringan pemain import Brazil, Paulo Josue.

Seminit berselang, Sarawak United terus terkedu selepas rembatan deras luar kawasan penalti pemain KL City, Ryan Lambert, gagal diselamatkan penjaga gol Sharbinee Allawee.

Ryan kemudian bertindak menambah jaringan pasukan, selepas sekali lagi menghasilkan rembatan luar kawasan penalti, yang sukar diselamatkan Sharbinee pada minit ke-41.

(Aksi perlawanan KL City menentang Sarawak United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras)

Ryan mencetak hatrik dengan corak jaringan sama pada minit ke-53, sekali gus menghukum Sarawak United untuk kesekian kalinya.

Memasuki babak terakhir perlawanan, giliran pemain import Ghana Jordan Mintah menceriakan KL City apabila menyempurnakan bola leret D. Kenny Palraj dalam kawasan penalti pada minit ke-84 untuk gol ke-5 pasukan.

Keputusan tersebut menyaksikan Sarawak United kekal berada di tangga ke-11 liga dengan mengumpul 14 mata, menemani Penang FC di tangga tercorot dengan 10 mata.