Thursday, 8 December 2022

Messi jaring dua gol lagi bantu Argentina tewaskan Jamaica

  • Published in Sukan

(Lionel Messi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti semasa
separuh masa kedua menentang Jamaica/REUTERS)

HARRISON, 28 September- Lionel Messi menjaringkan dua gol ketika Argentina semakin menghampiri rekod dunia tanpa kalah milik Itali dengan kemenangan selesa 3-0 menewaskan Jamaica dalam perlawanan persahabatan pemanas badan Piala Dunia di New Jersey.

Bintang Paris Saint-Germain itu menambah jumlah gol antarabangsanya kepada 90 dalam 164 penampilan selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua di Red Bull Arena.

Gol Messi menyempurnakan kemenangan Argentina yang kini telah mengharungi 35 perlawanan tanpa kalah berturut-turut sejak 2019 hanya dua kurang daripada rekod Itali yang dilakukan antara 2018 dan 2012.

Messi, yang turut menjaringkan dua gol semasa kemenangan persahabatan menundukkan Honduras di Miami pada Jumaat lepas, menggembirakan penonton dengan penampilan dari bangku pemain gantian pada minit ke-56, menggantikan Lautaro Martinez dari Inter Milan.

Dia menyumbat gol pertamanya pada minit ke-86, meluru ke hadapan sebelum merembat ke sudut bawah melepasi penjaga gol Jamaica Andre Blake.

Penerima Ballon D’Or tujuh kali berusia 35 tahun itu kemudian menghasilkan gol kedua, dengan licik melencongkan rembatan rendah di bawah barisan tembok pemain Jamaica ke sudut bawah daripada sepakan bebas. -AFP

(Lionel Messi meraikan jaringannya semasa perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa
antara Argentina dan Jamaica/AFP)