Thursday, 8 December 2022

Piala Dunia 2022: Fasa terakhir jualan tiket bermula hari ini

  • Published in Sukan

(Piala Dunia FIFA Qatar 2022 akan bermula pada27 September/FB FFA WORLD CUP 2022)

DOHA, 27 September-  Fasa akhir jualan tiket Piala Dunia FIFA Qatar 2022 akan bermula pada 27 Sept jam 12 malam waktu tempatan Doha (5 petang waktu Malaysia).

Tiket-tiket boleh dibeli di FIFA.com/tickets atas dasar 'siapa cepat dia dapat' dan tertakluk pada jumlah tiket yang tersedia. Fasa jualan ini akan berlangsung sehingga akhir kejohanan, menurut Agensi Berita Qatar (QNA).

Ia melaporkan bahawa meskipun menerima permintaan yang tinggi dan inventori awal menjangkakan tiket akan habis dijual dengan cepat, peminat harus menyemak FIFA.com/tickets secara berkala untuk jualan tiket tambahan dan jualan semula tiket, yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Tiket bagi setiap perlawanan akan tersedia dalam semua empat kategori harga, dengan tiket kategori 4 dikhaskan untuk penduduk Qatar. Pelanggan boleh membeli maksimum enam tiket bagi setiap perlawanan dan 60 tiket untuk seluruh kejohanan.

FIFA menggalakkan orang kurang upaya dan orang dengan mobiliti terhad untuk membuat pembelian secara atas talian dari platform yang sama dengan memilih kategori Tiket Kemasukan Khas.

Semua tiket untuk orang awam adalah secara mudah alih. Pada Oktober, FIFA akan mengeluarkan aplikasi tiket khusus yang perlu dimuat turun oleh pelanggan. Tiket yang dibeli kemudiannya akan dimuat naik ke aplikasi ini dan akan diaktifkan apabila peminat memasuki stadium.

(Stadium International Khalifa  dengan 40,000 tempat duduk antara
lapan stadium berlangsungnya perlawanan  Piala Dunia 2022/AFP)


Selain aplikasi tiket, semua peminat tempatan dan antarabangsa mesti memohon Hayya digital (ID Peminat), iaitu permit masuk untuk Negeri Qatar.

Bagi memohon Hayya digital dan untuk menempah penginapan, peminat boleh melayari Qatar2022.qa atau memuat turun aplikasi Hayya to Qatar 2022 (tersedia pada iOS dan Android), tambah laporan itu.

Ogos lalu, FIFA mengumumkan bahawa 2.45 juta tiket Piala Dunia FIFA Qatar 2022 telah dijual. Peminat dari Qatar, AS, England, Arab Saudi, Mexico, UAE, Perancis, Argentina, Brazil dan Jerman mendahului senarai penerima paling banyak tiket untuk Piala Dunia. -BERNAMA