Sunday, 2 October 2022

13 rekod baharu kanu pada SUKMA ke-20 diiktiraf

  • Published in Sukan

PUTRAJAYA, 23 September - Catatan masa terpantas yang dicipta dalam 13 kategori acara kanu pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, diiktiraf sebagai rekod kebangsaan yang baharu.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Kanu Malayasia (MASCA) Datuk Michael Wong, yang memaklumkan dakwaan bahawa semua rekod terbabit tidak dikira adalah tidak benar.

"Kami telah berbincang dengan ketua delegasi dan pengarah pertandingan, dan juga kami adakan mesyuarat dalam talian dengan persatuan kanu Asia semalam, bahawa segala rekod ini diambil kira.

“Sebelum ini ada pertanyaan adakah ia rekod kebangsaan atau masa terbaik, tapi kami hari ini mengesahkan ia memang rekod kebangsaan," katanya ketika sidang media di Kompleks Sukan Air di sini.

Pada Sukma edisi kali ini, sebanyak lapan rekod kebangsaan baharu dicipta dalam kategori wanita, sementara kategori lelaki menyaksikan lima rekod diperbaharui.

Dalam pada itu, Michael turut memaklumkan MASCA telah mencalonkan dua atlet iaitu Mohd Fakhrullah dan Syahida Asyiqin Rusli, masing-masing sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-20.

(FOTO BERNAMA)

Beliau memaklumkan, pencapaian Mohd Fakhrullah dari Johor yang memperbaharui dua rekod kebangsaan selain rangkul tujuh emas, sementara Syahida dari Terengganu yang meleburkan empat rekod kebangsaan, sewajarnya diberi penghargaan.

Sementara itu, pertandingan kanu petang ini menyaksikan Johor membolot ketiga-tiga kategori acara perahu tradisional 8 penyandang 200 meter (m) lelaki, wanita dan campuran.

Bagi kategori lelaki, negeri selatan itu mencatatan masa 54.252 saat (s) untuk muncul juara mengalahkan Pulau Pinang (56.252s) di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan (56.273s) tempat ketiga.

Kategori wanita pula, Johor mengambil masa 1 minit 01.034s untuk merangkul emas, manakala Wilayah Persekutuan (1:02.461s) dan Terengganu (1:04.752s) masing-masing menang pingat perak dan gangsa.

Johor terus mempamerkan dayungan cemerlang bagi acara perahu tradisional 8 penyandang 200m campuran, untuk tampil juara dengan catatan masa 1:01.034s manakala pingat perak menjadi milik Wilayah Persekutuan (1:02.461s) selain gangsa disambar Terengganu (1:04.752s). - BERNAMA