Sunday, 2 October 2022

Tenis Terbuka Pan Pasifik: Osaka tarik diri sakit perut

  • Published in Sukan

(Naomi Osaka dari Jepun (KANAN) membantu Daria Saville selepas pemain Australia itu tercedera semasa perlawanan
perseorangan wanita mereka pada hari kedua Terbuka Pan Pasifik di Tokyo pada 20 September 2022. / AFP)

TOKYO, 22 September- Kesengsaraan Naomi Osaka semakin mendalam apabila bekas pemain nombor satu dunia itu menarik diri daripada Terbuka Pan Pasifik di Tokyo selepas mengadu sakit perut pada Khamis.

Pemain Jepun berusia 24 tahun itu dijangka menentang Beatriz Haddad Maia dari Brazil pada pusingan kedua tetapi menarik diri dengan mengatakan keadaan badannya tidak menizinkannya untuk turun ke gelanggang.

"Ia satu penghormatan untuk dapat bermain di Terbuka Toray Pan Pacific di hadapan peminat yang menakjubkan di sini di Jepun," kata Osaka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur.

"Ini akan sentiasa menjadi kejohanan istimewa untuk saya dan saya harap saya boleh melangkah ke gelanggang hari ini, tetapi saya tidak sihat"

"Terima kasih atas sokongan anda minggu ini dan saya akan berjumpa anda tahun depan," tambahnya.

Osaka, pemenang Grand Slam empat kali, sedang berusaha untuk menamatkan prestasi buruk di Tokyo, di mana dia adalah juara bertahan daripada kali terakhir kejohanan itu dimainkan pada 2019.

Dia telah menjunam ke kedudukan 48 dalam ranking dunia wanita selepas aksi malang yang menyaksikan dia tersingkir pada pusingan pertama tiga kejohanan sebelum ini.

Perlawanan pusingan pertama Osaka di Tokyo menentang pemain Australia Daria Saville hanya berlangsung tujuh minit sebelum lawannya rebah dengan lutut yang cedera.

Saville menarik daripada perlawanan itu dan kemudiannya didapati koyak ligamen sendi lutut.

Osaka mengakui pada Isnin bahawa dia telah melalui "lebih banyak kejatuhan daripada kejayaan" tahun ini.

"Tahun ini bukanlah tahun terbaik untuk saya tetapi saya telah belajar banyak tentang diri saya," katanya sambil menambah bahawa dia "gembira untuk menjadi sihat".

"Hidup ada pasang surut, dan tahun ini lebih banyak turun daripada naik, tetapi secara keseluruhan saya cukup gembira dengan kedudukan saya sekarang."

Osaka telah berada di luar lingkungan 10 teratas sepanjang tahun dan mengalami kekalahan pusingan pertama di kedua-dua Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat.

Dia menarik diri dari Wimbledon kerana kecederaan Achilles.

Osaka sebelum ini bercakap secara terbuka tentang perjuangan dengan kesihatan mentalnya.

Penarikan dirinya daripada Terbuka Pan Pasifik hanyalah tamparan terbaharu bagi kejohanan itu, yang menyaksikan beberapa nama besar tersingkir pada pusingan awal.

Pilihan utama Paula Badosa dari Sepanyol dan pemain nombor dua Caroline Garcia dari Perancis tersingkir dalam perlawanan pembukaan mereka, bersama juara Wimbledon Elena Rybakina.

Pilihan keenam, Karolina Pliskova tewas pula 6-3, 6-4 kepada pemain Croatia, Petra Martic pada pusingan kedua pada Khamis, sekali gus enjadi mangsa terbaharu Terbuka Jepun. -AFP


(Pemain Jepun, Naomi Osaka)