Sunday, 2 October 2022

SUKMA 2022: Kontinjen Negeri Sembilan kutip emas ke-15

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 21 September- Kontinjen Negeri Sembilan mengutip pingat emas ke-15 menerusi sukan Bola Keranjang 5 sebelah Wanita selepas menewaskan Selangor 46-41.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium MABA, Kuala Lumpur itu menyaksikan suku pertama pasukan Selangor lebih mendominasi permainan berbanding Negeri Sembilan apabila mendahului 11-5.

Negeri Sembilan kemudian memperkemas strategi sekali gus merapatkan jurang kepada 21-20 di suku kedua.

Memasuki suku ketiga, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan saling bertukar mata.

Peningkatan demi peningkatan ditonjolkan pasukan Negeri Sembilan di suku terakhir dengan serangan lebih berkesan untuk menang 46-41.

Menurut Jurulatihnya, Lee Kheng Tian strategi untuk memperkuatkan benteng pertahanan adalah kunci kejayaan pasukan Negeri Sembilan ke atas Selangor.

"Hari ini pertahanan memang cepat cover dan cukup terperinci dalam perlawanan.

"Saya beritahu pemain selagi kita bertahan, beri tekanan kepada lawan, kita ada peluang untuk menang," katanya.

(Lee Kheng Tian)

Puas hati prestasi atlet

Sementara itu, Pengarah MSN Negeri Sembilan, Datuk Sabuddin Sani berpuas hati dengan prestasi atlet-atlet negeri itu setakat ini.

Menurutnya, kontinjen Negeri Sembilan berada pada tahap cukup membanggakan dan mampu mengutip lebih banyak pingat emas dalam tempoh baki beberapa hari lagi.

"Kita sebenarnya kontijen Negeri Sembilan menyasarkan kedudukan single digit maksudnya 8,9,7 dan seterusnya kita cuba perbaiki daripada tahun 2018 pada itu kita dapat nombor 13.

"Saya yakin dan percaya perkara ini boleh dicapai berdasarkan ada berapa lagi permainan dan kita sudah masuk final, insya-Allah," katanya di sini.

(Datuk Sabuddin Sani)

Setakat ini Negeri Sembilan berada di tangga ke-11 dengan mengumpul 15 emas, 4 perak dan 20 gangsa.

Pada edisi 2018, Negeri Sembilan menduduki senarai ke-12 daripada 15 kontinjen yang bertanding dengan memperoleh 13 emas, 18 perak dan 43 gangsa.