Logo

Insentif bulanan yang sesuai dirangka untuk Muhammad Azeem

(Khairul Shahril Mohamed (tengah) menyerahkan bantuan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar kepada
Muhammad Khairul Anuar Hasim (kiri) pada majlis perasmian Penyerahan Landas Bot anjuran Perbadanan
Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC)/ Foto BERNAMA)

PARIT, 19 Ogos - Kerajaan negeri Perak sedang menyiapkan satu kertas kerja berkaitan insentif bulanan untuk atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Exco Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata ketika ini atlet kelahiran Perak itu hanya menerima elaun bulanan berjumlah RM700 ringgit daripada Majlis Sukan Negeri Perak.

Jelas beliau, insentif berkenaan merupakan satu permulaan dan pihak kerajaan negeri turut bercadang untuk menyediakan insentif bulanan kepada atlet Perak yang mempunyai prestasi yang baik di pentas antarabangsa.

"Jadi kita sedang menyiapkan dan kita mengambil kira semua aspek dalam perkara ini kerana kita pun kena faham ramai atlet-atlet kita kalau kita tengok ada yang juara dunia dalam Muay Thai, ada seorang ini naib juara boling remaja dunia yang juga boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi, ini kita kena ambil kira, jadi kita tidak nak fokus hanya kepada Azeem sahaja tapi akhirnya nanti takut ia dilihat seperti kita hanya mengiktiraf olahraga sahaja," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan landas bot untuk nelayan darat oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) di Lambor Kanan, Bota, di sini hari ini.


(Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi)

Khairul turut menyokong tindakan Muhammad Azeem yang menolak beberapa tawaran untuk menjadi atlet olahraga profesional antarabangsa bagi memberi tumpuan penuh kepada bidang akademik.

Pada Rabu lepas, Muhammad Azeem berkata beliau menerima tawaran untuk menjadi atlet profesional yang antaranya berpusat di Amerika Syarikat dan Eropah selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, baru-baru ini.

Beliau menerima lebih 10 tawaran melanjutkan pengajian di universiti di Amerika Syarikat antaranya Universiti Georgia, Universiti Florida, Universiti Louisiana State dan Universiti Texas A&M selain turut menerima tawaran untuk mengembangkan kerjayanya dalam sukan olahraga daripada Universiti Houston serta Universiti Auburn.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.