Wednesday, 28 September 2022

Muhammad Azeem terima lebih 10 tawaran ke universiti di AS

  • Published in Sukan

(Atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi)

IPOH, 18 Ogos- Atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini menjadi perhatian di Amerika Syarikat.

Beliau memaklumkan telah menerima lebih daripada 10 tawaran melanjutkan pengajian di universiti dari negara tersebut.

Beliau berkata, kebanyakan tawaran diterima susulan prestasi membanggakan yang dipamer pada penyertaan Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia baru-baru ini.

Katanya, selain Universiti Houston dan Universiti Auburn, dia kini turut menerima tawaran antaranya daripada Universiti Louisiana, Universiti Texas A&M serta Universiti Georgia.

Menurut Azeem, beliau perlu mendapatkan pandangan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum membuat keputusan.

“Semalam baru sahaja diadakan perbincangan dengan Universiti Texas A&M yang mana mereka menawarkan tawaran biasiswa penuh.

"Namun setakat ini masih ada beberapa universiti lagi yang belum diadakan perbincangan.

“Walau bagaimanapun, saya tetap akan mendapatkan pandangan dan nasihat berhubung semua tawaran ini daripada Majlis Sukan Negara (MSN), pihak jurulatih dan keluarga.

"Pandangan ini juga bagi mendapatkan gambaran dan pilihan terbaik bagi masa depan saya,” katanya.

(Azeem serta lebih 20 atlet Perak menerima insentif daripada kerajaan negeri yang disampaikan Menteri Besar,
Datuk Seri Saarani Mohamad  atas kejayaan dalam Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun
dan memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik dan Sukan Perak yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Azeem serta lebih 20 atlet Perak menerima insentif daripada kerajaan negeri yang disampaikan Saarani, atas kejayaannya dalam Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun dan memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain Azeem yang menerima RM1,600, antara atlet lain yang turut menerima insentif adalah penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh yang menerima RM6,000 dan atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad (RM2,500) atas aksi cemerlang dalam Sukan Komanwel 2022.

Secara keseluruhan, Saarani menyampaikan insentif berjumlah RM30,500 kepada atlet-atlet yang mempamerkan aksi cemerlang dalam pelbagai temasya sukan antarabangsa sementara RM10,900 diperuntukkan kepada atlet yang berjaya dalam SPM.