Sunday, 2 October 2022

Stadium Nasional Bukit Jalil venue final Piala FA

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue pilihan bagi perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan memaklumkan, aksi final edisi ke-32 tersebut dijadual berlangsung pada 10 September ini.

"Permohonan untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Pemeriksaan terhadap padang turut melibatkan MFL bersama pihak pengurusan TFC dan JDT," menurut kenyataan itu.

(Stadium Nasional Bukit Jalil)

Mengikut perancangan awal, MFL akan menganjurkan final Piala FA pada 27 Ogos ini.

Bagaimanapun perubahan tarikh terpaksa dilakukan susulan penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022.

Mengenai penjualan tiket final Piala FA, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan TFC dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dilakukan dalam waktu terdekat.