Wednesday, 28 September 2022

Kejohanan Boling remaja Asia 2022: Shaqeem Izwan raih emas acara perseorangan

  • Published in Sukan

THAILAND, 16 Ogos- Pemain boling muda negara, Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh memulakan kempen Kejohanan Remaja Asia 2022 dengan cemerlang apabila meraih emas acara perseorangan remaja lelaki di Bangkok, Thailand, semalam.

Shaqeem melakukan jatuhan 1,435 pin selepas enam permainan untuk muncul juara acara berkenaan.

Pemain berusia 18 tahun itu menewaskan wakil Taiwan, Lan Shao Kang yang mencatat 1,407 jatuhan pin dan Abdulrahman Alkandari dari Kuwait dengan 1,406 jatuhan pin.


(Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh raih emas dalam boling remaja / Foto FB Bowling Malaysia)

Sementara rakan senegara, Airel Amri Suhaimi, Syabil Azam Saymsul dan Izz Naqiuddin Putera Islahuddin masing-masing menamatkan saingan di tempat ke-16, 18 dan 19.

Dalam kategori remaja perempuan pula, Adiana Mohd Redzwan mencatat 1,198 jatuhan pin manakala Anis Hanani Romzi 1,185 jatuhan pin, sekali gus menamatkan permainan di tempat kelima dan keenam.

Dua lagi pemain, Nur Aqila Aini Mohammed Faiz dan Nurul Hanis Nabila Mohd Nizam masing-masing di kedudukan ke-13 dan 15.

Singapura menguasai dua tempat teratas podium menerusi Ashley Victoria Lok 1,334 jatuhan pin dan Shirlene Wong Xue Lin 1,300 jatuhan pin.

Sementara wakil tuan rumah, Ramita Sarntong membawa pulang gangsa dengan 1,289 jatuhan pin.