Wednesday, 28 September 2022

Kecergasan fokus utama Murray

  • Published in Sukan

(Andy Murray pada aksi perlawanan ATP/WTA Cincinnati Masters)

 

CINCINNATI, AMERIKA SYARIKAT, 16 Ogos- Andy Murray berjaya mara ke pusingan kedua ATP/WTA Cincinnati Masters pada Isnin, namun kecergasan dalam perlawanan perlu dikekalkan bagi baki musim perlawanannya.

Juara dua kali Tenis Terbuka AS itu mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 7-6 (7/3), 5-7, 7-5 ke atas rakan veteran Stan Wawrinka.

Selepas setengah dekad mengalami masalah kecederaan termasuk pembedahan pinggul, pemain Scotland itu menyedari baki musim perlawanan dan kerjaya, amat bergantung kepada keadaan fizikalnya.

“Secara fizikal saya berasa cukup baik sejak beberapa bulan lalu, tetapi dalam kebanyakan kejohanan, saya tewas pada pusingan kedua.

“Saya tidak mempunyai peluang untuk mencapai kejayaan cemerlang, kemungkinan mengambil cuti untuk berehat.

"Saya harap, saya boleh mencapai tahap itu (kejayaan terdahulu) sekali lagi; secara konsisten berjaya ke peringkat akhir perlawanan, supaya kami dapat merancang dan menjadualkan kejohanan dengan lebih baik," katanya.


(Juara dua kali Tenis Terbuka AS itu mara ke pusingan kedua dengan
kemenangan 7-6 (7/3), 5-7, 7-5 ke atas rakan veteran Stan Wawrinka/AFP)



Juara Grand Slam tiga kali yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki dan lutut, Murray diuji selama hampir tiga jam ketika menentang Wawrinka semalam.

"Terdapat pencapaian yang baik tahun ini, tetapi agak sukar untuk beberapa tahun kebelakangan ini kekal cergas dan sihat serta membina keyakinan ketika bermain tenis, dan konsisten untuk bersaing mingu demi minggu," jelas Murray.

"Sangat positif, saya dapat bermain lebih banyak perlawanan tahun ini. Saya berharap dapat meneruskannya hingga akhir musim."

Kemunculan semula Murray pada musim ini dapat dilihat menerusi kejayaan yang dicapai pada Januari lalu, pada perlawanan akhir di Sydney dan di Stuttgart dua bulan lalu. -AFP