Logo

Jin Wei optimis bangkit semula, dapatkan prestasi sebenar

(Pemain perseorangan badminton wanita profesional negara, Goh Jin Wei ditemu bual Berita RTM
semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang)

SEPANG, 9 Ogos - Pemain perseorangan badminton wanita profesional negara, Goh Jin Wei tetap optimis untuk bangkit semula bagi mendapatkan prestasinya yang sebenar dalam misi berada dalam ranking 30 terbaik dunia semula sebelum tahun depan.

Ia selepas beliau mempamerkan peningkatan dari segi permainan dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham.

Jin Wei berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memilih dan memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewakili negara ke temasya tersebut selepas sekian lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

"Secara keseluruhan saya rasa dari team event (acara berpasukan) sampai individual (individu) saya rasa ada peningkatan dan harap boleh kekal dan rasa ada semangat berpasukan semasa acara berpasukan dan ia sangat memberi motivasi kepada saya untuk bermain dengan lebih baik pada acara individu" kata beliau ketika ditemui semasa ketibaan dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.


(Aksi pemain perseorangan badminton wanita profesional negara, Goh Jin Wei pada Sukan Komanwel
Birmingham/ Foto BERNAMA)

Pada edisi Sukan Komanwel kali ini, Jin Wei berjaya melayakkan diri sehingga peringkat suku akhir sebelum tewas 21-19, 14-21, 18-21 kepada pemain ranking ketujuh dunia dari India, Pursarla Sindhu.

Kegagalan itu sekali gus mengulangi kekalahan Jin Wei kepada lawan sama pada aksi final berpasukan campuran sebelum ini.

Bagaimana pun pada pertemuan individu itu, Jin Wei dilihat beraksi baik dengan memberikan tentangan sengit kepada Pusarla sehingga mengheret wakil India itu ke set penentuan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.