Friday, 19 August 2022

Sivasangari sah tidak sertai Sukan Komanwel selepas alami kecederaan akibat kemalangan

  • Published in Sukan

 (S. Sivasangari cedera di kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada pukul 3.46 pagi)

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Pemain skuasy wanita kebangsaan, S. Sivasangari disahkan tidak dapat menyertai temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada bulan depan kerana terlibat dalam kemalangan kereta, pada awal pagi Ahad.

Ia sekali gus memusnahkan impian pemain itu untuk membawa pulang pingat emas di temasya berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Faizal Azumu yang melawat Sivasangari di Hospital Putrajaya memaklumkan, pemain skuasy tersebut kini dalam keadaan stabil dan dijangka memerlukan tiga bulan untuk pulih.

"Ketika ini kami mengesahkan bahawa Sivasangari tidak dapat beraksi bagi mewakili kontinjen negara ke temasya Komanwel di Birmingham pada penghujung bulan Julai nanti,

"Untuk iti, pihak Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara akan memantau perkembangan beliau dan akan berbincanga dengan Persatuan Skuasy Malaysia untuk menentukan status penyertaannya nanti," katanya selepas melawat atlet itu di Hospital Putrajaya.

(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Faizal Azumu)

Beliau turut memaklumkan Sivasangari mengalami kecederaan dibahagian muka serta bahagian tulang belakang.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan bahawa seorang wanita cedera di kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada pukul 3.46 pagi.

Sivasangari, yang merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin adalah antara harapan pingat emas buat Malaysia.