Friday, 19 August 2022

Zii Jia telah mohon maaf, KBS hormati keputusan jaguh badminton negara - Faizal

  • Published in Sukan

IPOH, 25 Jun - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghormati keputusan yang dibuat jaguh badminton negara Lee Zii Jia menarik diri daripada menyertai Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemain nombor lima dunia itu telah pun memohon maaf dan menyatakan rasa kesal selepas membuat keputusan yang berat itu.

(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu)

"Saya sudah dapat bercakap dengan beliau sendiri dan beliau memohon ampun dan maaf, beliau sebenarnya sungguh-sungguh hendak mewakili Malaysia di Sukan Komanwel, tetapi keadaan beliau yang begitu padat, acara yang begitu padat dan sebagainya menyebabkan beliau terpaksa mengambil keputusan berat ini sedangkan pada beliau, ini peluang beliau untuk beraksi di Sukan Komanwel dan peluang untuk beliau juga membawa pulang pingat emas," katanya selepas merasmikan Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Ipoh, di sini.

Zii Jia sebelum ini membuat keputusan untuk tidak mewakili Malaysia pada Sukan Komanwel di Birmingham, Julai ini bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Tokyo pada 21 Ogos depan.

Tempat pemain berusia 24 tahun dari Kedah itu akan diganti oleh pemain perseorangan remaja negara, Ng Tze Yong.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata KBS akan bekerjasama dengan KPM menggunakan fasiliti sukan di sekolah, bagi penganjuran sesuatu program sukan.

Menurut Faizal, fasiliti sukan sedia ada di sekolah, boleh digunakan untuk penganjuran seperti Liga Sukan Malaysia.

"Jadi saya ucap terima kasih atas kerjasama baik yang diberi oleh pihak KPM dan juga sekolah-sekolah di seluruh negara bagi memastikan rakyat kita terus kekal cergas, aktif, dan dapat kita membudayakan sukan ke arah negara sukan jadi saya harap kerjasama ini akan terus dipererat dan ditambah baik," katanya.