Monday, 27 June 2022

Daniil Medvedev komited perbaiki prestasi dalam pusingan ketiga Tenis Terbuka Perancis

  • Published in Sukan

PARIS, 27 Mei- Pemain Rusia, Daniil Medvedev akui gembira dengan prestasi semasanya dalam Tenis Terbuka Perancis.

Namun beliau perlu memperbaiki beberapa kelemahan bagi aksi pusingan ketiga kejohanan pada esok.

Menurut Medvedev, aksi Sabtu ini menentang Miomir Kecmanovic dari Serbia tidak boleh dipandang mudah biarpun lawannya hanya menghuni ranking 31 dunia.

Jelas beliau, tumpuannya kini adalah untuk memperbaiki kedudukan ranking semasa terutama bagi merampas kembali kedudukan No.1 dunia.

Beliau yang ketika ini menghuni ranking No.2 dunia berjaya melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Serbia, Laslo Djere pada semalam dengan kemenangan 6-3, 6-4, 6-3.

Dalam pada itu, Medvedev turut memaklumkan dia kini lebih berminat untuk mengekalkan fokus di gelanggang berbanding isu melibatkan penggantungan Wimbledon terhadap pemain Rusia dan Belarus tahun ini.

(Daniil Medvedev selepas perlawanan menentang  Serbia, Laslo Djere, semalam /AFP)

Sementara itu, bagi saingan wanita pula menyaksikan Iga Swiatek sekali lagi menampilkan corak persembahan cemerlang apabila mengatasi Alison Riske dan menempah slot ke pusingan ketiga Terbuka Perancis.

Pemain nombor satu dunia itu merekodkan kemenangan 6-0, 6-2 di Court Suzanne-Lenglen, dan selepas ini dijadual berdepan Danka Kovinic.

Juara edisi 2020 itu telah memenangi 39 perlawanan tahun ini, lebih tiga kemenangan daripada rekod yang dilakukan sepanjang musim lalu.

Nasib berbeza dihadapi bekas pemain nombor satu dunia, Simona Halep apabila tersingkir daripada Terbuka Perancis selepas tewas kepada Zheng Qinwen, semalam.

Lebih memilukan juara Roland Garros 2018 itu tewas 6-2, 2-6, 1-6 kepada lawan bukan pilihan.

Dalam perlawanan tersebut Halep hanya mampu mendominasi permainan pada set pertama namun gagal mengekalkan rentak pada aksi berikutnya. -AFP