Saturday, 25 June 2022

Harimau Malaya sedia hadapi Brunei esok

  • Published in Sukan

PETALING JAYA, 26 Mei- Dayung sudah di tangan, sampan sudah di air menjadi peribahasa tepat buat pasukan skuad Harimau Malaya yang bersedia dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat (esok).

Bukan itu sahaja, pengendalinya, Kim Pan Gon juga akui tidak sabar untuk menguji keberkesanan ‘senjata baharu' skuad kebangsaan.

Jelas Pan Gon, pelbagai input dan maklumat sudah dicurahkan terutama berkaitan formasi baharu yang diterapkan kepada anak buahnya sejak kem latihan pusat bermula Khamis lepas.

Bagi perlawanan esok, beliau turut berharap anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik dalam usaha mendapatkan kemenangan.

(Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon /BERNAMA)

Selain Brunei, Malaysia dijadual berdepan Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan pada 1 Jun depan.

Dalam pada itu, pemain sayap skuad Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid bertekad untuk menjelmakan semula prestasi cemerlangnya dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

Jelas beliau, andai diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih Kim Pan Gon, pemain Johor Darul Ta’zim itu yakin dapat membantu Malaysia dalam kempen kelayakan itu di hadapan peminat sendiri.

Sebelum ini Safawi menampilkan prestasi terbaik bersama Harimau Malaya ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe pada 2019 dengan membantu pasukannya merekodkan sembilan kemenangan daripada keseluruhan 13 perlawanan termasuk aksi persahabatan Tier 1.