Saturday, 25 June 2022

Penyerang Piala Presiden Selangor FC meninggal dunia

  • Published in Sukan
PETALING JAYA, 26 Mei - Pemain Skuad Piala Presiden Selangor FC, Muhammad Husni Idrus, 21, meninggal dunia selepas rebah di sebuah restoran dekat sini, malam tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan Selangor FC melalui laman Facebook rasmi kelab berkenaan pada Khamis, 12.53 tengah malam tadi.

"Kami dari Selangor FC mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham semoga Allahyarham ditempatkan bersama dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

"Kami juga memohon agar semua pihak dapat bersama menjaga adab dan memberikan ruang privasi keluarga Allahyarham bagi menghormati keluarganya," menurut kelab itu.
(Muhammad Husni Idrus, 21, bersama skuad Piala Presiden Selangor FC/FOTO IG Husni Idrus)
 
Sementara itu, rakan arwah turut meluahkan rasa simpati dan rasa sedih melalui hantaran di Facebook selepas menerima berita duka pemergian Allahyarham.

"Aku bangga dengan kau sebab kau dapat capai impian kau dari sekolah rendah nak jadi pemain bola. Kau pergi selepas berjuang dengan kerjaya kau," luah rakannya Zulfeka Ejoi.

Arwah yang beraksi sebagai penyerang sebelum itu turun beraksi menentang JDT pada sebelah petang yang menyaksikan Selangor tewas 0-3.

Bagaimanapun, punca kematian Muhammad Husni masih belum diketahui.