Monday, 27 June 2022

Zii Jia juara kejohanan Badminton Terbuka Thailand

  • Published in Sukan

BANGKOK, 22 Mei - Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia muncul juara kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2022 selepas menewaskan pemain China, Li Shi Feng, 17-21, 21-11, 23-21 pada aksi final di Impact Arena, di sini.

Ketinggalan di set pertama, Zii Jia bangkit di dua set berikut untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya setelah berhempas pulas selama sejam 8 minit untuk menewaskan pemain ranking ke-49 dunia itu dalam pertemuan pertama mereka.

Pada perlawanan set pertama, Zii Jia dikejutkan dengan corak permainan yang pantas lawan itu sekali gus tewas, 17-21.

Bangkit pada set kedua dengan mempamerkan aksi yang lebih kemas, Zii Jia hanya memerlukan 11 minit untuk menundukkan Shi Feng, 21-11.


(Lee Zii Jia muncul juara kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2022 selepas menewaskan
pemain China, Li Shi Feng, 17-21, 21-11, 23-21/ Foto fail) 

Namun, perlawanan set ketiga cukup mencemaskan apabila Zii Jia pada awalnya ketinggalan 15-18 bangkit mengejar lawannya sebelum menghantar pulang Shi Feng dengan meraih kemenangan 23-21.

Kejayaan ini menyaksikan Zii Jia muncul pemain ketiga negara
merangkul gelaran juara Terbuka Thailand selepas Yong Hock Kin melakukannya pada tahun 2001 dan Hafiz Hashim pada tahun 2005.

Ia juga merupakan gelaran kedua Zii Jia pada tahun ini setelah menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada 1 Mei lalu.