Monday, 27 June 2022

Skuad hoki negara sasar rebut slot automatik benua Asia ke Piala Dunia 2023

  • Published in Sukan

(FOTO KONFEDERASI HOKI MALAYSIA) 

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Skuad hoki lelaki negara bakal berentap ke Piala Asia yang akan membuka tirainya pada 23 Mei hingga 1 Jun ini dengan misi merebut slot automatik ke Piala Dunia 2023.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memperuntukkan empat slot automatik ke Piala Dunia bagi benua Asia melalui kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bung Karno, Indonesia itu.

Bagaimanapun satu slot telah diisi oleh India selaku tuan rumah Piala Dunia 2023 dan ini sekaligus menyaksikan tiga slot akan menjadi taruhan buat pasukan yang bersaing di Piala Asia 2022.


(Foto fail)

Dalam pada itu, ketua jurulatih, A. Arulselvaraj menyatakan misi layak ke Piala Dunia 2023 adalah sasaran utama pasukan dan pasukannya sudah pun sedia untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Sebelum ini, pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi telah mengumumkan seramai 20 pemain iaitu dua penjaga gol, enam pemain pertahanan, lapan pemain tengah dan empat penyerang.

Lapan pasukan akan bersaing dengan tujuh daripadanya mempunyai misi yang sama iaitu merebut slot tersebut.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan dan Oman sementara Kumpulan A diisi oleh India, Indonesia, Jepun dan Pakistan.