Monday, 27 June 2022

Sukan SEA 2021 Hanoi: Skuad badminton lelaki mara ke separuh akhir bertemu Singapura

  • Published in Sukan

HANOI, 17 Mei - Skuad badminton lelaki negara berjaya membalas dendam diatas kekalahan skuad wanita kepada Vietnam semalam dengan menewaskan tuan rumah itu 3-1 di peringkat suku akhir acara berpasukan.

Skuad badminton lelaki negara berjaya membalas dendam di atas kekalahan skuad wanita kepada Vietnam semalam dengan menewaskan tuan rumah itu 3-1 di peringkat suku akhir acara berpasukan.

Kejayaan 3-1 itu juga sekali gus menyaksikan Malaysia layak ke separuh akhir bertemu Singapura hari ini.

Terdahulu, skuad wanita negara tersingkir di peringkat yang sama apabila tunduk 1-3 kepada Vietnam.

Namun, mujur skuad lelaki berjaya mengelak daripada nasib yang sama selepas dipaksa bangkit daripada kekalahan acara perseorangan pertama.

Dalam aksi di Bac Giang Gymnasium itu, tuan rumah terlebih dahulu meraih mata hasil kemenangan pemain veteran, Tien Minh Nguyen ke atas Kok Jing Hong, 21-14, 24-26, 21-7.

Malaysia bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan selepas beregu pertama, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengetepikan cabaran Do Tuan Duc-Pham Hong Nam 21-8, 20-22, 21-18.

Lee Shun Yang kemudian memberi kelebihan 2-1 kepada Malaysia dengan menewaskan Le Duc Phat 21-19, 27-25 dalam perseorangan kedua.

Beregu kedua Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri pula mengesahkan slot Malaysia ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh 15-21, 21-12, 22-20.

Malaysia akan berdepan Singapura di peringkat separuh akhir petang ini.