Saturday, 25 June 2022

Silat: Khairi Adib raih emas ke-17 buat Malaysia

  • Published in Sukan

HANOI, 16 Mei- Pesilat negara, Muhammad Khairi Adib Azhar menyumbang pingat emas ke-17 buat Malaysia selepas memenangi aksi final penuh dramatik kelas B Lelaki (50 hingga 55kg) hari ini.

Pada aksi tersebut, Khairi Adib pada awalnya ketinggalan 9 mata tatkala masa pertarungan berbaki empat saat untuk ditamatkan.

Namun, kesilapan lawannya dari Indonesia, Khoirudin Mustakim yang melakukan serangan di bahagian muka membawa padah selepas dia dikenakan penalti 10 mata.

Kedudukan itu sekali gus memberi kelebihan satu mata kepada Khairi Adib untuk menang dengan keputusan 50 berbalas 49 mata.

"Saya sudah mencuba sehabis baik. Saya lihat kutipan mata saya sudah jauh, saya serahkan kepada Allah dan tak kisah lagi apa yang akan terjadi. Namun tak dijangka, saya disepak di muka, saya memang pening ketika itu namun saya bangun dan boleh meneruskan perlawanan.

"Saya bersyukur kerana dapat mengambil kutipan mata lawan. Pada baki terakhir itu, saya masih pening dan saya tak tahu bagaimana untuk menggambarkannya, sedih ataupun gembira," katanya yang pernah meraih gangsa di Sukan SEA Filipina 2019 itu.

(Pesilat negara, Khairi Adib Azhar meraih pingat emas menerusi acara silat tanding
kategori lelaki B pada Sukan SEA ke-31 di Gelanggang Silat Pusat Sukan Bac Tu Leim, Hanoi)


"Saya ke sini memang menyasarkan emas. Tak mahu gangsa atau perak. Saya memang meletakkan sasaran emas untuk kali ini dan edisi seterusnya. Saya mahu kekalkan warna pingat ini.

"Saya berterima kasih kepada ibu, ayah, abang dan juga jurulatih yang membawa saya sehingga ke tahap ini dan juga kepada senior saya yang membentuk saya dari kosong sehingga ke tahap ini," katanya.

Pencapaian pesilat berusia 20 tahun itu sekali gus meneruskan legasi bapanya Azhar Ahmad yang memenangi pingat emas pada edisi 2001 di Kuala Lumpur.

Ia juga kilauan emas kedua disumbangkan kem silat negara pada temasya di Hanoi ini.