Tuesday, 17 May 2022

Piala Thomas: Masih banyak perlu ditambah baik skuad badminton lelaki Malaysia

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Kurang kreativiti dalam memanfaatkan peluang dimiliki antara punca aksi skuad lelaki terhenti di suku akhir kejohanan pada aksi Piala Thomas 2022.

Bekas pemenang pingat perak Piala Thomas 1988, Datuk Misbun Sidek berpandangan prestasi positif dipamerkan ketika menewaskan Jepun sewajarnya diteruskan ketika menentang India namun sebaliknya berlaku.

(Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan, Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) Datuk Misbun Sidek)

"Pada saya itu satu peluang, tetapi terlepas. Apa yang saya lihat itu sebenarnya boleh diperbaiki dan harus pandai mendapatkan mata dan ruang di masa akan datang sebab sekarang saya tengok rata-rata semua sudah lebih kurang.

"kita pun sudah ada sekurang-kurangnya dua perseorangan dan dua beregu jadi untuk akan datang itu kita kena ambil pertimbangan yang lebih ketat macam mana kita hendak bina mereka ini untuk ke arah mendapatkan mata, kita perlukan tiga mata sahaja," kata Misbun yang juga Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kemarau Malaysia bagi menjulang trofi Piala Thomas terus berpanjangan selepas tewas 2-3 kepada India dalam aksi sengit saingan suku akhir yang berlangsung di Bangkok.