Thursday, 26 May 2022

Penampilan pertama bawa tuah; Skuad wushu hadiahkan dua emas, satu pingat perak

  • Published in Sukan

(Atlet wushu negara Tan Zhi Yan (kiri) bersama Clement Ting Su Wei masing-masing berjaya menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara selepas cemerlang beraksi dalam acara akhir Taijiquan dan Changquan Lelaki pada Sukan SEA ke-31 di Cau Giay Gymnasium, Hanoi/BERNAMA)

HANOI, 13 Mei - Misi memburu 36 pingat emas kontinjen Malaysia diteruskan dengan Kem wushu negara tampil cemerlang merangkul dua pingat emas dan sebutir perak menerusi disiplin taolu hari ini.

Apa yang menariknya, ketiga-tiga pemenang pingat itu membuat penampilan sulung dalam temasya dwitahunan ini, sekali gus memastikan sasaran sebutir perak dan sebutir gangsa skuad wushu tercapai.

Kilauan emas pertama hadir menerusi Clement Ting Su Wei yang mencatat 9.70 mata dalam acara changquan lelaki.

Walaupun memperoleh mata yang sama dengan juara 2017 Lim Jowen Si Wei dari Singapura, Clement diangkat sebagai juara kerana gaya persembahannya lebih memikat barisan juri.

Seorang lagi wakil Malaysia, Yeap Wai Kin terlepas kedudukan podium selepas berada di kedudukan keempat dengan 9.68 mata. 

Selepas itu, tiba giliran Tan Zhi Yan menghadiahkan pingat emas ke-11 negara apabila mengungguli acara taijiquan lelaki.

Atlet berusia 22 tahun dari Batu Berendam, Melaka itu berjaya memukau juri untuk meraih 9.71 mata, mengatasi atlet Filipina, Jones Inso 9.70 mata dan Jun Kai Chan dari Singapura dengan 9.57 mata.

Sementara itu, Calvin Lee Wai Leong pula meraih pingat perak dalam acara nandao lelaki dengan 9.68 mata.

(Atlet wushu negara Calvin Lee Wai Leong beraksi dalam acara akhir Nandao Lelaki pada Sukan SEA ke-31 di Cau Giay Gymnasium, Hanoi/BERNAMA)

Bagi kategori jianshu wanita pula, Pan Pui Yee, menamatkan saingan di kedudukan terakhir dalam kalangan tujuh peserta apabila hanya mengumpul 9.36 mata.

Cabaran skuad taolu negara bersambung esok menerusi acara daoshu dan gunshu lelaki serta wanita, taijijian lelaki, qiangshu wanita, tajiquan wanita serta nanquan lelaki.