Thursday, 26 May 2022

Pembukaan Sukan SEA: Nur Dhabitah manis berbusana tradisional Melayu

  • Published in Sukan

(Nur Dhabitah Sabri membawa Jalur Gemilang mengetuai perbarisan dalam
upacara pembukaan Sukan SEA ke-31 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini/FOTO AFP)


HANOI, 13 Mei- Busana tradisional Melayu sekali lagi menghiasi temasya Sukan SEA tatkala senyuman manis pembawa Jalur Gemilang, Nur Dhabitah Sabri mengetuai perarakan masuk kontinjen Malaysia pada Majlis Perasmian temasya dwitahunan itu pada malam Khamis.

Nur Dhabitah selaku pembawa bendera Jalur Gemilang, tampil manis dan menawan berbusana tradisional memberi simbolik semangat membara kepahlawanan sang puteri Melayu.

Kontinjen Malaysia diketuai Nur Dhabitah yang merupakan penyumbang pingat emas pertama sukan SEA Hanoi, diiringi 12 atlet dan 16 pegawai termasuk Ketua Kontinjen, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad dan dua timbalannya Melvin Chia serta Afrita Ariany Nasril.

Busana bertemakan "Pendekar Melayu" disarung Nur Azmi dan "Busana Puteri" digayakan Nur Dhabitah, melambangkan semangat kepahlawanan yang membakar dalam diri setiap atlet negara untuk berjuang sepanjang temasya ini berlangsung.

Anggota kontinjen lain pula mengenakan baju korporat rekaan khas bertemakan harimau yang melambangkan kuasa, semangat juang, keberanian serta kepahlawanan.

Kontinjen negara menjadi negara peserta kelima berarak masuk sambil diiringi sorakan ceria para penonton.


(Anggota kontinjen lain pula mengenakan baju korporat rekaan khas bertemakan harimau)


Perarakan tersebut dilakukan mengikut susunan abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan diakhiri dengan tuan rumah, Vietnam.

Malaysia menghantar kekuatan kontinjen 801 orang yang terdiri daripada 584 atlet dan 217 pegawai sepanjang edisi ke-31 temasya yang membuka tirai secara rasmi hari ini dan berakhir pada 23 Mei.

Atlet negara mengambil bahagian dalam 37 daripada 40 sukan yang dipertandingkan, melibatkan 338 daripada 526 acara keseluruhan

Laporan wartawan Berita RTM,Aliff Asyraf Kamanor di Hanoi, Vietnam