Tuesday, 17 May 2022

Lima pemain import TFC akan diumum selepas semua aksi persahabatan selesai

  • Published in Sukan


FOTO TFC TV



KUALA LUMPUR, 26 Januari- Pemilihan lima pemain import untuk skuad utama Terengganu FC (TFC) akan dimuktamadkan selepas selesai semua aksi persahabatan.

Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, ketika ini anak buahnya giat menjalani latihan bagi meningkatkan kecergasan dan membina keserasian.

"Ketika saingan Liga Malaysia masih berbaki 6 minggu lagi, saya hanya mahu fokus kepada tahap kecergasan pemain. Dalam pada itu, pemain import yang tidak terpilih untuk pasukan utama akan diserap ke pasukan TFC Dua," jelasnya.

Skuad Penyu sebelum ini telah menandatangani kontrak lapan pemain import untuk diserap ke kedua-dua pasukan di bagi mengharungi Liga M yang bermula awal Mac ini.

Tiga pemain import yang dikekalkan daripada musim lepas ialah Argzim Redzovic, Habib Haroon dan Jordan Mintah, manakala muka baharu yang ditampilkan ialah Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Pape Diakite, Luke Woodland dan Manuel Ott.

Setakat ini TFC telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di laman sendiri dengan pasukan Kelantan United dan pasukan dari Liga M3.