Monday, 16 May 2022

Beregu badminton lelaki perlu tenang hadapai tekanan

  • Published in Sukan



KUALA LUMPUR, 26 Januari- Beregu remaja lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu lebih tenang berdepan tekanan apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas ini.

Demikian nasihat Pengarah Kejurulatihan Beregu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky selepas menyaksikan persembahan pasangan itu ketika menjuarai Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 minggu lalu.

"Aspek ketenangan merupakan antara kelemahan paling ketara yang perlu diperbaiki Wei Chong-Kai Wun biarpun mereka mampu bertahan dengan baik ketika berdepan asakan pihak lawan,

"Saya gembira dengan kejayaan di India itu, namun sebagai pengendali jabatan beregu di BAM saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pasangan muda negara tersebut khususnya dalam aspek menangani tekanan," jelasnya.

Pada aksi final di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, Ahad lepas, Wei Chong-Kai Wun yang turun selaku pilihan keenam, mencipta kejutan apabila mengecewakan wakil tuan rumah Krishna Garaga-Vishnuvardhan Panjala 21-18, 21-15.

Pencapaian itu membuka peluang mereka untuk tersenarai sebagai beregu ketiga negara dalam Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 yang akan berlangsung di Selangor pada 15 hingga 20 Februari depan.

Ketika ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merupakan beregu utama negara diikuti Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei sebagai beregu nombor 2 Malaysia.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang kempen Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC)2022, Rexy memberitahu pihaknya juga perlu mempertimbangkan peluang beregu profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mengisi slot beregu ketiga negara.

Ini selepas pasangan berkenaan berjaya mempamer prestasi memberangsangkan ketika mara ke separuh akhir Kejuaraan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol.

Bagi beregu wanita pula, beliau membayangkan juara Terbuka Switzerland 2021, Pearly Tan-M.Thinaah serta juara Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 Anna Ching-Teoh Mei Xing berpotensi disenaraikan dalam kejohanan itu.

Anna-Mei Xing yang diletakkan sebagai pilihan kelapan di India, merangkul gelaran tersebut dengan menewaskan pasangan tuan rumah, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 21-12, 21-13 di final.

"BAM kini sedang giat memberi tumpuan dalam memperbaiki kelemahan pemain negara dalam beberapa kejohanan terakhir sebelum ini termasuk di Indonesia dan Eropah bagi memastikan mereka bersedia memberi cabaran sengit pada BATC 2020 bulan depan," katanya.