Friday, 27 May 2022

BAM dan Zii Jia perlu capai kata sepakat

  • Published in Sukan



KUALA LUMPUR 22 Januari- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia diminta mencari jalan penyelesaian terbaik susulan isu dihadapi ketika ini.

Itu saranan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sedia bertemu kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal, jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya.

Jelas beliau, isu di antara BAM dan Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari ini.

Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Januari lepas kerana ingin bergerak sebagai pemain profesional selain alasan tidak dapat menahan tekanan di BAM.