Logo

MOM yakin Olimpik musim sejuk Beijing berjaya

FOTO FACEBOOK Olympic Council of Malaysia


KUALA LUMPUR, 20 Januari - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin bahawa Beijing dapat menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk yang berjaya dan selamat pada 4 hingga 20 Februari ini, meskipun berlaku kebimbangan susulan peningkatan kes COVID-19 varian Omicron.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata penganjur telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan memperkenalkan gelembung sukan dikenali sebagai ‘gelung tertutup’ bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Saya sangat yakin Beijing akan menjadi tuan rumah yang hebat dan cemerlang. Ia akan menjadi temasya Sukan Musim Sejuk yang sangat berjaya. Dengan playbook, protokol keselamatan, gelembung sukan dan (fakta bahawa) mereka mempunyai kes sedikit berbanding seluruh dunia, saya fikir ia adalah tempat paling selamat.

“Saya juga yakin Beijing adalah tempat di mana semua atlet hendak pergi dan capai impian mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen negara ke temasya itu Moira Tan di sini pada Rabu.

Malaysia diwakili dua atlet luncur salji alpine - Jeffrey Webb, 23, dalam kategori slalom lelaki dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17, dalam kategori slalom dan giant slalom wanita - pada temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Malaysia membuat penampilan pertama pada Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, menerusi penyertaan Julian Yee, 24, yang menamatkan saingan di tempat ke-25 dalam acara figure skating lelaki, dan Jeffrey di tempat ke-68 acara giant slalom lelaki. -BERNAMA

Tagged under beijing olimpik
Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.