Friday, 27 May 2022

Tenis Terbuka Australia: Ashleigh menang mudah

  • Published in Sukan

MELBOURNE, 19 Januari- Pilihan utama Ashleigh Barty mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia selepas mudah menewaskan Lucia Bronzetti hari ini.

Pemain nombor satu dunia dari Australia itu jelas berada dalam kelas tersendiri ketika mengatasi cabaran lawannya dari Itali 6-1, 6-1 hanya dalam masa 52 minit.

Ashleigh memulakan misi memburu gelaran pertama Terbuka Australia dengan garang apabila menewaskan Lesia Tsurenko pada Isnin lalu dalam masa 54 minit.

Kemenangan tersebut juga mencerahkan peluang Barty untuk menjuarai kejohanan itu di laman sendiri pada musim ini.

Servisnya sukar digugat dan kini tidak tewas enam perlawanan sejak bermula musim 2022 selepas menjuarai Antarabangsa Adelaide.

"Kami di tempat sepatutnya kami berada," kata Ashleigh. "Saya rasa persiapan kami amat baik di Adelaide. Kami beraksi dengan baik dalam aksi sukar. (Jurulatih) Craig Tyzzer banyak membantu.

"Pasukan kami keseluruhannya bekerjasama dengan baik. Kami nikmati tenis kami dan mempamerkan prestasi terbaik."

Ashleigh akan berdepan pilihan ke-30, Camila Giorgi dari Itali pada peringkat 32 terakhir Jumaat ini selepas pemain Itali itu menewaskan pemain Czech, Tereza Martincova 6-2, 7-6 (7/2). - AFP