Friday, 27 May 2022

Lewandowski Pemain Terbaik FIFA dua tahun berturut-turut

  • Published in Sukan

FOTO: AFP

ZURICH, 18 Januari - Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik FIFA 2021.

Bintang veteran berusia 33 tahun itu yang memecahkan rekod jaringan terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 41 gol mengetepikan cabaran pemenang Ballon d'Or Lionel Messi dan penggempur Liverpool Mohamed Salah.

Ini tahun kedua berturut-turut Lewandowski merangkul anugerah tersebut.

"Saya gembira dan berbesar hati memenangi anugerah ini, saya berasa sangat bangga," katanya.

Sementara itu penyerang Manchester United Cristiano Ronaldo menerima Anugerah Istimewa FIFA atas kejayaannya memecahkan rekod jaringan antarabangsa terbanyak.

Ronaldo, 36, kini telah menjaringkan 115 gol bagi pasukan kebangsaan Portugal, memintas rekod lama 109 gol yang dipegang oleh legenda bola sepak Iran Ali Daei.

"Saya tidak jangka akan mengatasi rekod ini dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang telah beraksi bersama sepanjang tempoh 20 tahun ini," kata Ronaldo yang turut memegang rekod penjaring terbanyak Liga Juara Eropah dengan 140 gol.

Edouard Mendy dan Thomas Tuchel dari Chelsea masing-masing dinamakan Penjaga Gawang Terbaik dan Pengurus Terbaik.

Manakala Erik Lamela yang kini bersama Sevilla dalam saingan LaLiga Sepanyol memenangi Anugerah Puskas bagi gol terbaik menerusi jaringan hasil sepakan rabona semasa beraksi untuk Tottenham Hotspur.