Friday, 27 May 2022

Ibu pejabat baharu FAM, inspirasi ke arah memperkasa tadbir urus

  • Published in Sukan


PUTRAJAYA, 17 Januari -
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus melangkah ke hadapan terutama dalam memperkasakan tadbir urus badan induk tersebut menerusi pembinaan Ibu Pejabat Baharunya di Putrajaya.

Projek itu juga selari dengan Hala Tuju F:30 dalam menyediakan kemudahan bertaraf dunia.

Ibu Pejabat baharu FAM itu diharap mampu memperkasakan urus tadbir badan induk tersebut terutama dalam usaha mengangkat martabat bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Harapan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya selepas majlis perasmian pecah tanah projek ibu pejabat FAM di Presint 5, di sini hari ini.

"Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, pengadil dan kejurulatihan," katanya.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan Ibu Pejabat lama di Kelana Jaya tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dimanfaatkan bagi aktiviti bolasepak.

Demi memastikan pembangunan bolasepak secara menyeluruh, sebuah Pusat Latihan Kebangsaan atau NTC turut dibangunkan di atas tanah seluas 13 hektar berkenaan.

Ia akan menjadi satu lagi ikon infra bola sepak moden dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa.