Tuesday, 17 May 2022

KDA FC sasar julang Piala Liga Super bagi musim 2022

  • Published in Sukan


FOTO FB KDA FC

ALOR SETAR, 17 Januari - Kedah Darulaman FC (KDA FC) menyasarkan muncul juara Liga Super musim 2022 apabila sekadar naib juara pada dua musim berturut-turut sebelum ini.

Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata keyakinan itu berdasarkan komitmen dan komposisi pemain yang berwibawa sama ada pemain tempatan atau pemain import.

Jelasnya, pemilihan pemain berdasarkan rekod pencapaian yang baik, tidak mustahil KDA FC mampu mencapai ke arah itu, malah Skuad Hijau Kuning antara pasukan yang digeruni musim ini.

"Dengan komposisi pemain yang berwibawa tahun ini sama ada pemain tempatan ataupun import, Insya-Allah kita berhasrat untuk menjulang piala liga dan piala-piala tertentu selain kita membantu melestarikan kewangan kelab," kata Dr Mohd Daud selepas ditemui menjadi tetamu di Radio Malaysia Kedahfm di sini.

"Biarpun beberapa tonggak utama kita seperti Baddrol Bakhtiar tidak lagi bersama KDA FC, saya yakin ia tidak sedikit pun menjejaskan kekuatan dan kehebatan KDA FC," tambahnya.

Dalam aspek pembangunan pemain, pasukan Lang Merah komited menggilap bakat muda agar pencapaian mereka setaraf dengan pemain skuad utama.