Friday, 27 May 2022

"Amat kecewa" sedia untuk dihantar pulang - Djokovic

  • Published in Sukan

FOTO AFP

MELBOURNE, 16 Januari - Bintang tenis dunia, Novak Djokovic menyatakan dia ‘amat kecewa’ dengan keputusan kerajaan Australia, namun akan patuh dan bersedia untuk dihantar pulang.

Terdahulu, tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan bintang Serbia itu menolak percubaan terakhir Djokovic berhubung pembatalan visanya akibat isu vaksinasi COVID-19.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai pengusiran saya, menurut kenyataan bintang tenis nombor satu dunia itu menjelang aksi Terbuka Australia.

Dalam tempoh 11 hari bergelut isu vaksinasi yang menarik perhatian dunia, visa pemain tenis itu dibatalkan pihak imigresen di Lapangan Terbang Melbourne dan kemudian diberikan semula atas isu prosedur seterusnya dibatalkan semula oleh kerajaan Australia.

Djokovic terpaksa bermalam di pusat tahanan imigresen, kemudian dibenarkan menjalani latihan selepas visanya dikembalikan, namun dihantar kembali ke pusat tahanan, apabila visanya sekali lagi ditarik semula.

“Sekarang saya ingin mengambil sedikit masa untuk berehat, sebelum membuat sebarang komen lanjut selepas ini,” kata Djokovic.

Juara bertahan Terbuka Australia itu tiba di Melbourne pada 5 Januari lalu dengan harapan memenangi kejohanan itu untuk kali ke-10, sekali gus memburu rekod ke-21 bagi perseorangan lelaki.

Djokovic dijadualkan bertemu rakan senegaranya, Miomir Kecmanovic yang menduduki rangking ke-78 dunia pada aksi pembukaan esok. -AFP