Friday, 27 May 2022

MUSA sokong Datuk Hamidin teraju FAM bagi penggal 2021-2025

  • Published in Sukan

AYER KEROH, 16 Januari - Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyokong Datuk Hamidin Mohd Amin untuk kekal sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021/2025.

Presiden MUSA, Datuk Sulaiman Md Ali berkata sokongan itu berdasarkan kredibiliti yang ditunjukkan Datuk Hamidin sepanjang menerajui FAM.

Jelas beliau, tindakan mendesak Datuk Hamidin meletak jawatan adalah tidak wajar hanya susulan satu kegagalan skuad kebangsaan dalam saingan Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020 di Singapura.

"Jangan disebabkan satu kegagalan itu terus diminta letak jawatan. Bagi saya, kita beri kepercayaan kepada Datuk Hamidin untuk menerajui FAM, bagi beliau peluang."

"Semua orang boleh beri pandangan tapi jangan kerana satu kali gagal, bermakna ia gagal selamanya," katanya ketika ditemui selepas Kongress ke-66 MUSA di Ayer Keroh.

Tambahnya, kritikan netizen perlu diambil kira bagi menambah baik prestasi skuad kebangsaan pada masa akan datang.