Thursday, 20 January 2022

updated 1:58 AM UTC, Jan 20, 2022

Tengku Amir Shah kekal Presiden FAS bagi penggal 2022 -2026

  • Published in Sukan


SHAH ALAM, 15 Januari
- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu bagi penggal 2022 hingga 2026.

Pengumuman itu menerusi keputusan pemilihan dalam Kongres Tahunan FAS ke-69 dan ke-70, hari ini.

Bagi jawatan Timbalan Presiden FAS pula disandang oleh Datuk Seri Shahril Mokhtar manakala Naib Presiden dimenangi oleh Datuk Abdul Rauf Ahmad, Datuk P. Sugumaran, Mohd Yunus @ Iskandar Md Noor dan R. Sekar Chandaran.

Wakil badan berkecuali Majlis Pemilihan FAS, Anas Shafiee memaklumkan persatuan telah menerima sebanyak 47 borang pencalonan dengan satu daripadanya ditolak susulan lewat diserahkan.

Sementara itu, Tengku Amir Shah bertitah FAS akan memberi penekanan kepada beberapa aspek utama, antaranya menaik taraf liga-liga Selangor melibatkan aspek pembangunan dan komersial, pembangunan pemain muda dan junior, selain pembangunan jurulatih serta pengadil.