Thursday, 20 January 2022

updated 1:07 AM UTC, Jan 20, 2022

240 atlet Johor tarik diri daripada sertai SUKMA 2020

  • Published in Sukan

FOTO BERNAMA



Johor Bahru, 15 Januari -Kontinjen Johor mengesahkan, kira-kira 240 atletnya terpaksa menarik diri daripada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Kuala Lumpur atas faktor usia, melanjutkan pengajian dan alasan kerja.

Pegawai Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohammad Syafiq Hassan menjelaskan, kekosongan ditinggalkan atlet berkenaan telah diganti oleh atlet lain yang dipilih menerusi program pembangunan MSNJ.

"Saya percaya, situasi tersebut bukan sahaja dihadapi kontinjen Johor malah turut berlaku terhadap negeri-negeri lain.

Di Johor hampir 40 peratus daripada 600 atlet sudah menarik diri daripada program sukan dan kita tidak boleh halang dari segi masa depan mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Majlis Kriket Johor (JCC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Mohammad Syafiq berharap, Sukma 2020 dapat menjadi platform menguji pasukan dan atlet Johor dalam persediaan menjadi tuan rumah temasya itu pada tahun 2024.

Oktober lepas, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju menangguhkan temasya sukan Sukma Johor hingga ke tahun 2024, di samping bersetuju supaya Majlis Sukan Negara menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2020 di Kuala Lumpur tahun ini.