Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

Australia tahan semula Djokovic, batal visa

  • Published in Sukan

FOTO - AFP

MELBOURNE, 15 Januari- Pihak berkuasa Australia menahan Novak Djokovic buat kali kedua pada Sabtu, sambil menggelar bintang tenis itu sebagai ancaman kepada ketenteraman awam.

Setelah gagal mengusir bintang tenis Serbia berusia 34 tahun yang tidak divaksin dari negara tersebut, kerajaan konservatif Australia tidak berhenti dan mencuba sekali lagi.

Perbicaraan mahkamah persekutuan dijadualkan pada Ahad. Sementara itu Djokovic diletakkan bawah pengawasan di sebuah lokasi di Melbourne yang tidak didedahkan.

Djokovic dijangka menghabiskan malam Sabtu dalam tahanan imigresen, selepas beberapa hari dibebaskan berikutan rayuan pertamanya yang berjaya di mahkamah.

Bagi berjuta-juta peminat tenis di seluruh dunia, bintang Serbia itu terkenal sebagai juara tenis yang hebat dengan pukulan kilas yang ganas namun timbul beberapa pandangan yang meragukan tentang COVID-19.

Australia telah meletakkan dia sebagai azimat atau tangkal untuk golongan antivaksin dan pemangkin kepada potensi "pergolakan awam", yang mesti disingkirkan.

Kehadiran Djokovic di Australia "mungkin memupuk sentimen antivaksinasi", kata menteri imigresen Alex Hawke, sekali gus mewajarkan penggunaan kuasa eksekutif yang luas untuk membatalkan visanya.

"Bukan sahaja boleh menggalakkan orang ramai untuk melanggar peraturan kesihatan, malah kehadirannya boleh membawa kepada pergolakan awam", kata Hawke.

Berbaki dua hari sebelum Terbuka Australia bermula, juara bertahan itu sekali lagi terpaksa menumpukan perhatian kepada mahkamah dan bukannya gelanggang tenis. -AFP