Thursday, 20 January 2022

updated 2:39 AM UTC, Jan 20, 2022

Piala Super Sepanyol: Athletic Bilbao tewaskan bekas juara, Real Madrid menanti di final

  • Published in Sukan


FOTO AFP

RIYADH, 14 Januari - Athletic Bilbao benam bekas juara Piala Super Sepanyol, Atletico Madrid 2-1 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mara ke final bertemu Real Madrid.

Sejam babak perlawanan, kedua-dua pasukan gagal mencari rentak permainan dan hanya saling berbalas serangan.

Segalanya berubah sejurus masuk minit ke 61, selepas penyerang muda Los Colchoneros, Joao Felix menanduk bola ke arah tiang gol menerusi satu sepakan sudut.

Tangkapan kurang kemas penjaga gol Athletic Bilbao, Unai Simon menyebabkan dia dihukum gol sendiri dan meletakkan Atletico Madrid di depan dengan jaringan,1-0.

Bagaimanapun, Bilbao tidak menunggu lama selepas berjaya mencetak gol pada minit ke 77 menerusi pemain pertahanannya, Yeray Alvarez.

Kemasukan pemain muda Los Leones, Nico Williams nyata memberi satu suntikan kekuatan buat pasukan apabila menghadiahkan satu gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Berbaki 9 minit, Williams berjaya merembat mudah ke gawang gol menewaskan Jan Oblak.

"Saya sangat beremosi sekarang," kata Williams yang turut beraksi bersama abangnya, Inaki dalam perlawanan itu.

"Ibu mengatakan saya layak menang. Pelukan bersama abang selepas jaringan kemenangan itu adalah satu detik yang saya tidak akan lupakan," katanya lagi kepada media.

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak akui terkejut dengan kekalahan itu.

"Sukar untuk menjelaskannya, kami dibolosi menerusi situasi bola mati."

"Kelemahan ini perlu diperbaiki kerana kalau tidak, ia akan menjadi lebih rumit sehingga hujung musim nanti," tambahnya lagi.

Athletic Bilbao bakal berdepan Real Madrid di final pada Isnin depan di Stadium Antarabangsa King Fahd. - AFP