Thursday, 20 January 2022

updated 2:39 AM UTC, Jan 20, 2022

Piala Carabao: Arsenal bertahan dengan 10 pemain, ikat kedudukan seri 0-0 dengan Liverpool

  • Published in Sukan


FOTO AFP

LIVERPOOL, 14 Januari - Skuad The Gunners berjaya mengikat kedudukan seri 0-0 menentang Liverpool, meski berbaki 10 pemain pada aksi separuh akhir pertama di Anfield pagi tadi.

The Reds yang turun tanpa kelibat dua penyerang berbisanya, Mohamad Salah dan Sadio Mane jelas gagal memanfaatkan peluang tersebut, selepas bergelut selama lebih sejam untuk mencipta peluang.

Pengendalinya, Jurgen Klopp akur dengan ketiadaan dua penyerang itu susulan berkhidmat untuk negara dalam Piala Negara-negara Afrika.

Kapten pasukan Arsenal, Granit Xhaka dihukum buang padang seawal minit ke-24 susulan terjahan keras ke atas penyerang muda, Diogo Jota.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta terpaksa mengorbankan Eddie Nketiah apabila membawa masuk Rob Holding bagi mengatur strategi baharu selepas Liverpool mula mendominasi perlawanan.

Cubaan terbaik Liverpool disia-siakan Takumi Minamino pada babak ke-67 sebelum Bukayo Saka nyaris meledak gol kemenangan buat Arsenal yang dinafikan Alisson Becker.

Arsenal nyaris dikecewakan selepas bertahan dengan baik apabila Aaron Ramsdale ditewaskan menerusi hantaran lintang namun Minamino gagal menyudahkan peluang yang terhidang pada babak akhir perlawanan.

Ini menyaksikan aksi separuh akhir kedua di Emirates bakal menjadi lebih terbuka untuk kedua-dua pasukan untuk mara ke final bertemu Chelsea.- AFP