Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

Mac ini, Alia bakal mulakan saingan di Sepanyol

  • Published in Sukan

SEPANG, 13 Januari - Pelumba berbasikal lebuh raya Terengganu, Siti Nur Alia Mansor bakal memulakan kayuhan pertamanya di bumi Sepanyol dalam satu perlumbaan pada Mac ini.

Pelumba Canyon-SRAM Racing Team yang berpangkalan di Sepanyol itu memaklumkan, dia juga akan diperkenalkan sebagai pelumba baharu pada Sabtu ini.

Siti Nur Alia sebelum ini mencipta sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara dan Asia Tenggara menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia Eropah.

Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui tawaran kontrak selama setahun daripada pasukan ranking ke-5 dunia itu merupakan peluang besar baginya meningkatkan prestasi, sekali gus menyalakan impian layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Dalam masa setahun yang Alia pergi ini mereka akan nilai Alia dari segi latihan dan dengar cerita akan ada perlumbaan pada bulan Mac, jadi mungkin dia akan tengok Alia punya prestasi dan dalam perlumbaan itu dia akan tengok keputusan macam manalah.

Dia tengok Alia punya prestasi dulu dalam masa 7 bulan jadi kalau prestasi Alia bagus dalam 8 orang itu seorang akan layak menyertai pasukan elit dan 7 tu akan terus kontrak 1 tahunlah," katanya sebelum berlepas ke Sepanyol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Siti Nur Alia sebelum ini pernah menjalani latihan bersama jaguh trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang di Melbourne pada 2017.

Di Sepanyol, prestasinya akan dipantau bekas jurulatih Terengganu Cycling Team (TSG) Adam Szabo yang kini melatih pasukan Canyon-SRAM Racing Team.