Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

KUFC kekal bebas belenggu masalah tunggakan gaji pemain

  • Published in Sukan

KOTA BHARU, 13 Januari - Kelantan United FC (KUFC) menjadi antara pasukan yang kekal bebas daripada dibelenggu masalah tunggakan gaji pemain sejak ditubuhkan pada tahun 2019.

Penasihat KUFC, Wan Roslan Wan Hamat berkata, ini kerana pihak pengurusan sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah mengikut kemampuan kewangan pasukan.

Katanya, pihaknya amat menitik beratkan aspek tersebut kerana ia melibatkan moral serta prestasi semua pemain.

"Kita rangka perbelanjaan tu dengan kekuatan yang kita ada, kemampuan yang kita ada dan hasil yang kita bentuk walaupun gaji tidak seberapa supaya perjalanan itu berjalan licin dan teratur.

Masa liga M3 lagi saya menekankan pengurusan kewangan ini maknanya kita berbelanja secara berhemah, jadi Alhamdulillah," katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Antara Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd dengan Kelantan United di Kota Bharu.

KUFC menerima tajaan lebih besar musim ini menerusi sambungan kerjasama dengan syarikat minuman pribiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd.

Pasukan itu menerima nilai tajaan berjumlah RM766,000 meliputi sumbangan tunai, produk dan perancangan program-program pembangunan bola sepak akar umbi.