Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

FAM dapat lampu hijau bida jadi tuan rumah pusingan 3 kelayakan Piala Asia 2023

  • Published in Sukan

KUALA LUMPUR, 11 November - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat kebenaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membida tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung pada Jun 2022.

Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, saingan kelayakan tersebut akan memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan apabila dapat beraksi di laman sendiri.

Bagaimanapun Mohd Saifuddin berkata, FAM perlu menunggu hingga Februari tahun depan berikutan proses bidaan hanya dibuka selepas majlis undian peringkat kumpulan saingan kelayakan.

Ketika ini, pihaknya sedang mengenal pasti venue, hotel dan padang-padang latihan yang berpotensi digunakan mengikut prosedur operasi standard.

Sebelum ini, harapan menyaksikan Malaysia menjadi satu daripada enam venue pusingan ketiga kelayakan dilihat tipis selepas KBS berkata kerajaan lebih mengutamakan usaha pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.

Bagaimanapun, FAM menjelaskan bahawa pembidaan itu tidak melibatkan penggunaan dana kerajaan, sebaliknya segala kos akan ditanggung oleh mereka.

Skuad Harimau Malaya kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir beraksi di kejohanan itu ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.