Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Jenazah bekas penembak negara selamat dikebumikan

  • Published in Sukan

GEORGE TOWN, 6 November - Jenazah bekas atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli yang meninggal dunia awal pagi ini akibat jangkitan paru-paru, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, George town, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Bekas jurulatihnya, Zamil Ahmad Murad yang mengesahkan berita pemergian Muslifah berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 pagi tadi di sebuah hospital swasta selepas menerima rawatan hampir dua bulan.

Arwah positif COVID-19 sejak September lalu, pada masa sama beliau hamil lima bulan dan bayi di dalam kandungan yang merupakan anak pertamanya, meninggal dunia dua minggu selepas dimasukkan ke hospital.

Bekas jurulatih menembak Kuala Lumpur itu meninggalkan suami, Muhammad Syamim Syaharuddin berumur dalam lingkungan 30-an.

Menerusi hantaran di Instagram, Majlis Sukan Negara (MSN) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Muslifah, bekas penembak negara pernah terlibat dalam Program Podium pada tahun 2015 hingga 2017.

Allahyarham juga pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 bagi acara rifle 50 meter prone berpasukan wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim.