Thursday, 2 December 2021

updated 1:52 PM UTC, Dec 2, 2021

Harimau Malaya bermula langkah kanan, bungkam Laos untuk terajui Kumpulan J

  • Published in Sukan

ULAANBAATAR, 25 Oktober - Bolasepak Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2022.

Malaysia mencatat kemenangan pertama menewaskan Laos 1-0 dalam perlawanan Kumpulan J yang berlangsung di MFF Stadium, Ulaanbaatar petang tadi.

Kemenangan tersebut meletakkan pasukan negara ditangga teratas kumpulan apabila Thailand dan tuan rumah, Mongolia hanya mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan sebelumnya.

Bermain dalam şuhu enam darjah celsius, pasukan negara menguasai separuh masa pertama.

Hanya sesekali lawan melakukan serangan balas namun mudah dipatahkan pertahanan Malaysia.

Babak pertama bagaimanapun berakhir 0-0.

Separuh masa kedua, jurulatih Brad Maloney melakukan tiga pertukaran, mengeluarkan Mohd Azam Azmi dan memasukkan Quentin Cheng, Syafik Ismail dengan Hakimi Abdullah dan Umar Kaseem dengan Hairey Hakim.

Hasilnya, pada minit ke-68, lorongan deras Quentin Cheng dari sebelah kiri petak penalti Laos berjaya disempurnakan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar untuk gol pendahuluan Malaysia.

Laos kemudian cuba menggandakan serangan bagi mendapatkan gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan negara memastikan kemenangan pertama milik Malaysia.