Logo

Datuk Seri Zolkples meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Hari ini arena sukan tanah air dikejutkan dengan pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Allahyarham yang juga seorang penganalisis sukan berkaliber ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah, pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Dilahirkan pada 1 Mac 1959 di Dungun, Terengganu, beliau mula menerajui MSN selaku Ketua Pengarah pada April 2007 sehingga Disember 2014.

Sepanjang tujuh tahun bergelar Ketua Pengarah MSN, beliau pernah memikul tanggungjawab menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Pengalaman luas Allahyarham dalam sukan turut dicurahkan selepas bersara apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017.

Bukan itu sahaja, sumbangan Datuk Seri Zolkples dalam bidang sukan mendapat pengiktirafan apabila pernah menerima Anugerah Pengurusan Sukan pada Majlis Anugerah Industri Sukan Negara 2012.

Jenazah Allahyarham Datuk Seri Zolkples dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Seri Petaling sebelum dikebumikan di Kampung Sura, Dungun, hari ini.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.