Logo

Paralimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirai

TOKYO, 6 September - Bandar raya Tokyo mengucapkan selamat jalan dan semoga bertemu lagi kepada kontinjen dan peserta Sukan Paralimpik 2020 selepas 12 hari berlangsung dan sebelum itu ditunda selama setahun akibat pandemik COVID-19.

Upacara penutup berlangsung penuh warna warni di Stadium Olimpik yang turut dihadiri Putera Mahkota Jepun, Putera Akishino, adik kepada Raja Naruhito.

Ketua Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons mengumumkan bahawa Paralimpik Tokyo 2020 berjaya dilangsungkan bukan sahaja penuh bersejarah, malah juga dengan luar biasa.

Sejumlah 86 negara merekodkan kejayaan medal dengan 62 daripadanya memenangi sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Temasya ini berlangsung tanpa kehadiran penonton dengan penyertaan kira-kira 2,000 atlet dan pegawai.

Persembahan di dalam stadium menampilkan tarian break-dance, kostum rama-rama dan pelbagai acara kebudayaan sebelum persembahan bunga api di sekitar stadium sebagai penutup acara.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike menyerahkan bendera Paralimpik kepada Parsons yang kemudian menyerahkannya kepada Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo sebagai tuan rumah bagi edisi 2024.

Sepanjang temasya itu berlangsung, sebanyak 539 pingat emas dalam 22 acara dipertandingkan dan semuanya diadakan secara tertutup ekoran COVID-19.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.