Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

'Pingat pertama Bonnie bakar semangat saya' - Liek Hou

  • Published in Sukan

TOKYO, 5 September - Juara dunia enam kali, Cheah Liek Hou menjadi pemenang pingat emas pertama dalam acara badminton Sukan Paralimpik, selepas menewaskan musuh utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada final perseorangan lelaki SU5.

Kejayaannya itu juga sekali gus menghadiahkan kilauan emas kedua buat kontinjen negara di Paralimpik Tokyo 2020.

Ini kali pertama acara badminton dipertandingkan pada Sukan Paralimpik.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Yoyogi itu, Liek Hou menewaskan Dheva yang juga pemain pilihan pertama Paralimpik dengan keputusan 21-17, 21-15.

Sebaik sahaja menang, Liek Hou dilihat merebahkan dirinya di atas gelanggang sebagai tanda lega sebelum menerpa ke arah jurulatih, Datuk Rashid Sidek bagi meraikan kejayaannya itu.

Kemenangan itu juga membolehkan Liek Hou mengekalkan rekod lima perlawanan tanpa kalah di Sukan Paralimpik, termasuk tiga kemenangan pada peringkat Kumpulan B.

Terdahulu pada peringkat separuh akhir, pemain berusia 33 tahun itu berjaya mengalahkan pemain Taiwan, Fang Jen-yu dalam tiga set 15-21, 21-10 dan 21-16, untuk layak ke perlawanan akhir.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokongnya, terutama keluarga, barisan jurulatih, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

Tambah beliau, hasil perbincangan dan bimbingan jurulatih semasa perlawanan berjaya membantunya menundukkan pemain Indonesia Anrimusthi Dheva 21-17, 21-15 untuk memenangi pingat emas.