Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Azizulhasni,Shah Firdaus mara pusingan ketiga

  • Published in Sukan

TOKYO, 4 Ogos - Misi membawa pulang pingat emas pertama negara berjaya diteruskan dalam acara berbasikal trek di Velodrom Izu.

Dua pelumba pecut negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing berjaya menempah tiket ke pusingan ketiga acara pecut individu lelaki petang tadi.

Bagaimanapun Azizulhasni dan Shah Firdaus terpaksa mengharungi laluan yang sukar apabila beraksi dalam pusingan repechage dua kali selepas tewas di pusingan pertama dan kedua.

Azizulhasni, 33 tahun, yang diberi jolokan The Pocket Rocketman mempamer kayuhan bertenaga untuk menyambar tiket ke pusingan ketiga dengan menewaskan pelumba Kanada, Nick Wammes dengan perbezaan catatan masa 0.104 saat.

Manakala Shah Firdaus pula terpaksa beraksi dua kali selepas melanggar lawannya Patryk Rajkowski sehingga menyebabkan pelumba Poland itu jatuh.

Dalam aksi ulangan, pelumba berusia 25 tahun itu beraksi cemerlang apabila menumpaskan Rajkowski dengan perbezaan masa 0.260 saat.

Misi memburu pingat akan diteruskan dalam saingan pusingan ketiga yang bakal menyaksikan Datuk Azizul bertemu Jeffrey Hoogland dari Belanda.

Manakala Shah Firdaus pula berdepan laluan lebih getir apabila dijadual menentang juara dunia, Harrie Lavreysen juga dari Belanda.